Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Saturday, May 07, 2005

Kasbi Sarbini

Seram, Misteri - Pengalaman pelukis majalah Mastika












Kasbi Sarbini bersama lukisan yang pernah digunakan untuk kulit depan majalah Mastika yang dipamerkan di Menara Kuala Lumpur.


ROSES pengkaryaan beliau lebih merupakan rutin tugas, yang menuntut ketepatan masa dan keperluan mengisi ketetapan fenomena yang ingin dizahirkan terlebih dulu dalam bentuk rencana atau artikel. Karya-karya yang dihasilkan pula lebih menekankan kepada penampilan figura serta pilihan dan konsep warna yang khusus. Lantaran itu juga pelukis ini mengakui menghasilkan lukisan untuk kulit depan majalah bulanan Mastika memberikan pengalaman perasaan yang berbeza. Berbeza yang dimaksudkan adalah kebanyakannya berkisar mengenai suasana perkuburan, cerita hantu atau peristiwa misteri. Perasaan seram dan suasana seperti berada di tempat kejadian semasa dalam keasyikan melukis merupakan pengalaman yang biasa dihadapinya. Namun ia dianggap sebagai sebahagian daripada asam garam tugas memandang kebanyakan kulit depan majalah tersebut menghendaki lukisan sedemikian apabila diberi kepercayaan sejak September 1997. Visualizer Utusan Karya, Kasbi Sarbini memberitahu, beliau melakukan tugas menyiapkan lukisan untuk kulit depan Mastika di rumah selepas waktu kerja. Jelasnya, beliau perlu menyiapkan lukisan tersebut dalam keadaan tiada gangguan dan dapat memberikan sepenuh tumpuan serta perhatian.

Pada ketika perhatian penuh itu beliau menambah, suasana terasa seperti dalam keadaan sebenar, meremang bulu roma, seram dan misterius. ``Biasalah sebab perlu menyiapkannya sampai jauh malam. Saya biasanya ada tiga atau empat hari untuk menyiapkannya. Masa menyiapkan lukisan, kadang-kadang rasa seram pun ada. ``Apabila terlalu asyik dan suasana yang dilukiskan itu terasa dalam diri, memang sukar untuk mengembalikan diri kepada keadaan normal,'' kata beliau. Bagi menyiapkan sesuatu gambar, beliau perlu memahami kehendak Pengarang Mastika atau wartawannya terlebih dulu melalui perbincangan dan membaca tulisan yang ingin dipaparkan untuk kulit depan.Menurut Kasbi, selepas memahami sesuatu artikel atau rencana, beliau akan membuat lakaran yang akan ditunjukkan kepada pengarang bagi mendapatkan persetujuan. Ujarnya, figura manusia yang digunakan dalam setiap lukisan kebanyakannya dirakam dalam bentuk fotografi terlebih dulu sebelum diolah dalam bentuk lukisan. Beliau berkata, latar lukisan pula lebih memerlukan daya imaginasi yang perlu disesuaikan dengan keperluan editorial dan tarikan pembaca.

Lantaran itu juga ujarnya, pemilihan warna, aspek pencahayaan dan bayang merupakan aspek penting terutama dalam menimbulkan kesan misteri atau seram. Pelukis itu menambah, kesan tampak yang kuat dan berkesan akan dapat memberi rangsangan kepada pembeli. ``Tujuan melukis untuk kulit depan Mastika adalah untuk menarik minat pembelinya. Sebaik-baiknya, lukisan tersebut mempunyai cerita yang menarik perhatian pembaca. ``Bagaimanapun tidak mudah untuk menghasilkan lukisan yang mampu memberikan kesan mendalam kepada khalayak yang menatapnya,'' jelasnya. Kasbi memberitahu, malah kadang-kadang lukisan yang sudah disiapkan ditolak oleh pengarang apabila mendapati ianya tidak memenuhi kehendak. Ditanya sama ada pernah mengalami saat kekeringan idea, beliau memberitahu, masalah seumpama itu tidak pernah timbul. Di sebalik menghasilkan lukisan yang menampilkan imej atau persekitaran misteri dan seram, pelukis yang memahirkan diri melalui pembelajaran sendiri dan pengalaman itu sebenarnya berminat menghasilkan lukisan bermotifkan alam semula jadi. Pameran anjuran Mastika dan Menara Kuala Lumpur itu memaparkan 60 hasil lukisan kulit depan terpilih majalah Mastika yang dihasilkan oleh Kasbi. Pameran tersebut sedang berlangsung di Menara Kuala Lumpur sehingga 4 Oktober ini dan ianya terbuka kepada orang ramai.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

 
Blogger Templates